Korea Selatan
Korea Selatan atau nama rasminya Republik Korea (RK, Hangul: 대한민국, Hanja: 大韓民國, Perumian Semakan: Daehan Minguk dengar) adalah sebuah negara berdaulat yang terletak di bahagian selatan Korea di Asia Timur. Ia bersempadanan dengan negara Republik Rakyat China (Tanah Besar China) di barat, Jepun di timur dan Republik Demokratik Rakyat Korea (Korea Utara) di utara. Ibu negara dan bandar raya terbesarnya ialah Seoul. Korea Selatan terletak dalam kawasan beriklim kebenuaan lembap dan subtropika lembap dengan rupa bumi yang bergunung-ganang. Wilayahnya meliputi kawasan seluas 100,363 kilometer persegi (38,750 bt2) dan dengan penduduk seramai 50 juta orang, dimana bandar raya Seoul sahaja diduduki oleh 10.4 juta orang.
Hasil pencarian arkeologi mendapati bahawa Semenanjung Korea pernah diduduki manusia seawal Zaman Paleolitik Awal.[8][9] Sejarah Korea bermula dengan penubuhan kerajaan Gojoseon pada tahun 2333 SM oleh raja Dan-gun yang menjadi lagenda. Ekoran penyatuan Tiga Kerajaan Korea di bawah pemerintahan Silla pada 668 M, Korea diperintah oleh Dinasti Goryeo (918–1392) dan Dinasti Joseon (1392–1910). Pemerintahan Joseon berakhir apabila Korea diilhakkan oleh Empayar Jepun pada tahun 1910. Pada akhir Perang Dunia Kedua, Korea telah dibahagikan kepada kuasa pendudukan Soviet di bahagian utara dan Amerika Syarikat di selatan. Walaupun Korea Selatan ditubuhkan sebagai sebuah negara demokrasi pada tahun 1948, namun ia terpaksa mengharungi kekacauan politik dan pemerintahan tentera yang berlarutan selama puluhan tahun hingga tertubuhnya Republik Keenam pada tahun 1987.
Selepas serangan Korea Utara ke atas Korea Selatan dalam 25 Jun 1950, peperangan yang tercetus antara kedua-dua Korea berakhir dengan Perjanjian Gencatan Senjata. Sempadan antara kedua-dua negara tersebut adalah yang paling kuat dikubui di dunia.[10] Selepas perang, ekonomi Korea Selatan berkembang pesat sehingga negara ini menjadi sebuah kuasa ekonomi utama dunia.[11] Pada tahun 1987, kerajaan awam telah menggantikan pemerintahan tentera. Sehingga kini, Korea Selatan mempunyai undang-undang kawalan senjata api yang ketat dengan nisbaj bilangan senjata api yang sedikit mengikut kapita.
Korea Selatan merupakan sebuah negara republik berpresiden yang terdiri daripada 17 bahagian pentadbiran. Ia merupakan sebuah negara maju dengan taraf hidup yang amat tinggi. Ia merupakan ekonomi keempat terbesar di Asia dan ke-15 (nominal) atau ke-12 (pariti kuasa beli) terbesar di dunia.[12] Ekonomi ini didorong oleh bidang pengeksportan, di mana industri pengeluaran tertumpu pada bidang elektronik, kereta, perkapalan, jentera, petrokimia dan robotik. Korea Selatan ialah sebuah negara anggota dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta pengasas bagi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Sidang Kemuncak Asia Timur.