New Zealand

New Zealand (Jawi: نيو زيلاند; Bahasa Māori: Aotearoa) ialah sebuah negara kepulauan di barat daya Lautan Pasifik mengandungi dua pulau besar yang utama (Pulau Utara dan Pulau Selatan) dan 700 buah pulau kecil lain merangkumi keluasan sejumlah 268,021 kilometer persegi (103,500 bt2) terutama Pulau Stewart/Pulau Rakiura dan Kepulauan Chatham. Pulau-pulau utama New Zealand berkedudukan terpencil kira-kira 2000 kilometer tenggara Australia merentasi Laut Tasman dan 1000 kilometer arah selatan dari New Caledonia, Fiji dan Tonga. Negara ini terangkum dalam suatu alam kerajaan termasuk Kepulauan Cook dan Niue (berkerajaan sendiri tetapi negara bersekutu); Tokelau dan Wilayah tanggungan Ross yang dituntut di benua Antartika.

Disebabkan oleh pengasingannya yang lama, New Zealand mempunyai fauna tersendiri yang didominasi oleh burung, banyak daripadanya telah menjadi pupus selepas ketibaan manusia dan spesies mamalia yang diperkenalkan para peneroka ini. Kebanyakan penduduknya terdiri daripada masyarakat berketurunan Eropah dan etnik peribumi Māori yang menjadi kaum minoriti terbesar. Masyarakat berketurunan Asia dan bukan Maori Polynesia juga menjadi kaum minoriti yang signifikan, terutamanya di bandar-bandar besar.

Raja Charles III sebagai Raja New Zealand, ialah ketua negara yang diwakilkan oleh seorang Gabenor-Jeneral berkecuali dalam ketiadaan baginda, yang sendirinya tidak mempunyai apa-apa pengaruh politik di negara ini. Kuasa politik sebenarnya dipegang oleh Parlimen New Zealand yang dipilih secara demokratik di bawah pimpinan Perdana Menteri yang merupakan ketua kerajaan. New Zealand mempunyai dasar ekonomi terbuka yang terkenal sebagai negara yang mempunyai pasaran paling terbuka ekonomi kapitalis di dunia. Nama Eropah bagi New Zealand ialah Staten Landt, satu nama diberi kepadanya oleh seorang penjelajah Belanda Abel Tasman, orang Eropah pertama yang melihat kepulauan tersebut. Tasman telah mengandaikan bahawa ia merupakan sebahagian daripada benua selatan yang dihubungkan dengan daratan yang dijumpai di dalam tahun 1615 di hujung Amerika Selatan oleh Jacob Le Maire.

bottom 1

bottom 2

bottom 3

HUBUNGI KAMI